DISEMBER 2022

Usaha Bangun Aplikasi Dapat Pengiktirafan Antarabangsa: Premier


KUCHING, Rabu: Usaha-usaha anak Sarawak untuk berkecimpung dalam pembangunan aplikasi-aplikasi digital telah mula mendapat pengiktirafan antarabangsa, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

“Terdapat sebuah syarikat milik orang Sarawak yang membina aplikasi untuk menyediakan perkhidmatan kebajikan telah mendapat anugerah di London.

“Jabatan Tanah dan Survei juga telah menerima anugerah di Amerika Syarikat untuk Projek Electronic Land and Survey Information System (eLASIS) mereka. Ini bermakna usaha ekonomi digital kita telah diiktiraf di seluruh dunia.

“Sarawak merupakan yang pertama memiliki teknologi sebegini di Malaysia. Kerajaan negeri-negeri lain kini melihat kepada kita sebagai contoh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Anugerah Shell LiveWIRE Sarawak 2022 di Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Digital Village di sini pada Rabu. 

Beliau berkata kejayaan-kejayaan anak Sarawak dalam pembangunan platform aplikasi digital setakat ini adalah hasil daripada inisiatif kerajaan Sarawak untuk memperkasakan ekonomi digital di negeri ini.

“Apabila saya memperkenalkan ekonomi digital pada 2017 orang berkata “apalah Abang Jo ini buat”, ujar beliau. 

Namun, apabila pandemik Covid-19 melanda dunia barulah orang sedar betapa berguna platform aplikasi-aplikasi digital untuk pelbagai transaksi demi kelangsungan hidup, ujar beliau lagi.

“Tempah sayur, tempah ikan pun online dan bayar dengan Sarawak Pay (SPay Global),” kata beliau.

Program Livewire anjuran Shell telah mengetengahkan pemenang Heineken anak Laluan melalui apps e-dagang “Timogah” yang dinobatkan sebagai pemenang kedua dalam kategori Business Innovation pada “Shell LiveWIRE Global Top Ten Innovators Award” pada 2022.

Heineken juga terpilih antara “startups” 100 teratas oleh Startup Istanbul pada 2019 melalui apps e-dagang sama.

Turut mendapat pengiktirafan antarabangsa Ahmad Azuar Zainuddin yang memenangi tempat kedua global sebagai Partner Pelaksana Terbaik.

Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol dan Pengerusi Shell Malaysia merangkap Naib Presiden Kanan Upstream Malaysia, Dato Ivan Tan.

Sumber dari : Sarawakku